Central Area Transit (atau CAT, panggilan mesranya) adalah perkhidmatan bas ‘shuttle’ percuma yang bermula dari Terminal Bas Pengkalan Weld, bergerak melalui jalan-jalan utama di George Town sebelum menurunkan anda di hentian bas khas yang berdekatan dengan tempat tarikan yang utama.
Untuk menaiki bas ‘shuttle’ di George Town, berikut adalah senarai hentian bas untuk anda naik dan turun:
Stesen 1: Pengkalan Weld
Hentian ini adalah terminal bas George Town yang utama dan merupakan hentian pertama dalam laluan CAT. Untuk menikmati pemandangan Pelabuhan Swettenham dan Dermaga Lebuh Chulia, cuba dapatkan tempat duduk di sebelah kiri bas.
Stesen 2: Feri
Perjalanan ke Stesen 2 mengambil masa yang singkat dan sekiranya anda berminat untuk mengambil gambar Wisma Yeap Chor Ee dan Wisma Kastam. Bangunan-bangunan ini terletak hanya 7 – 10 minit perjalanan kaki dari Stesen 1.
Stesen 3: Little India *
Suasana di Little India bertambah serinya apabila menjelang tengahari. Turunlah di stesen ini jika anda ingin membeli rempah ratus dan kain sari. Tarikan lain yang berdekatan termasuk Rumah Agam Peranakan Pulau Pinang, Rumah Berhala Nenek Moyang Chung Keng Kwee dan bangunan OCBC yang berwajah vintaj.
Bas tidak berhenti di stesen no 3 setiap hari Ahad dari pukul 7.00 pagi – 1.00 tengah hari
Stesen 4: Imigresen
Bangunan-bangunan kolonial Inggeris menempatkan beberapa bank, bangunan komersial dan pejabat pentadbiran. Stesen 4 terletak di hujung Lebuh Pantai, di mana terletaknya balai polis, jadi turunlah di sini dan hayati keunikan bangunan-bangunan tersebut secara dekat. Medan Selera Sri Weld yang berhampiran adalah satu tempat yang baik untuk makan tengah hari.
Stesen 5: Bank Negara
Jika anda tidak sabar untuk mengunjungi Bangunan Dewan Bandaraya, Bangunan Dewan Perbandaran, Kota Cornwallis dan Tugu Peringatan Perang, turunlah di sini. Anda juga mempunyai pilihan untuk mengikuti bas menamatkan pusingan laluannya sehingga ke Stesen 17 yang juga berdekatan dengan tarikan ini.
Stesen 6: Muzium*
Wahai pencinta sejarah, di sinilah hentian anda. Dari Stesen 6, anda boleh berjalan kaki ke Gereja St George (lebih dekat dengan Stesen 16), Gereja Assumption, Convent Light Street, Bangunan Mahkamah dan St Xavier’s Institution.
*Muzium Negeri Pulau Pinang ditutup buat masa ini. Ia dijadualkan untuk dibuka semula pada tahun 2023.
Stesen 7: Lebuh Muntri
Jika anda gemar berjalan-jalan, anda boleh berhenti di Stesen 7 untuk melawati tarikan seperti Gereja St Francis Xavier dan Rumah Agam Biru – Cheong Fatt Tze. Anda juga boleh melihat Perkuburan Kristian awal yang berhampiran.
Stesen 8: Lebuh Campbell
Sekiranya hasrat utama anda adalah untuk melawat tapak-tapak agama dan membeli-belah di bandar ini, stesen ini terletak dalam jarak berjalan kaki dari Masjid Benggali dan Pasar Chowrasta (lebih dekat dengan Stesen 12).
Stesen 9: KOMTAR Pusat
KOMTAR turut menyediakan perkhidmatan bas untuk perjalanan luar laluan ke Batu Ferringhi, Bayan Lepas, Balik Pulau dan banyak lagi. Pada masa kini, KOMTAR berfungsi sebagai pejabat pentadbiran bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan juga menempatkan sebuah pusat beli-belah digital teknologi komunikasi dan maklumat (ICT Digital Mall) yang menjual pelbagai jenis gajet dan peranti teknologi pada harga berpatutan. Anda juga boleh melalui jambatan penghubung dari KOMTAR ke pusat beli-belah yang lain seperti Prangin Mall dan 1st Avenue Mall.
Stesen 11: Jalan Kedah*
Penggemar durian dan kek keju mesti turun di sini! Sebaik sahaja turun, terus berjalan ke hadapan dan berhenti di Moody Cow Café. Restoran ini terkenal dengan aneka kek keju dengan perisa yang luar biasa, terutamanya kek keju durian yang mesti dicuba; dan bagi yang sukakan cabaran, cubalah kek keju perisa telur masin dan telur padi!
Bas tidak berhenti di stesen no 10.
Stesen 12: Jalan Chowrasta
Untuk membeli buah pala, biskut ‘tau sar pneah’ dan jeruk segar, Stesen 12 terletak betul-betul di pintu masuk Pasar Chowrasta. Terdapat beberapa kedai buku terpakai menjual biografi, novel berkulit lembut dan juga komik lama yang terletak di tingkat satu pasar ini. Jangan lupa untuk meluangkan 15 minit untuk menikmati semangkuk cendol di Penang Famous Teochew Chendul di Lebuh Keng Kwee, bersimpang dengan Jalan Penang.
Stesen 13: KOMTAR Timur
Jika anda bertukar fikiran, di sinilah peluang terakhir untuk turun di Prangin Mall. Tarikan yang berhampiran termasuklah Masjid Pintal Tali.
Stesen 14: Lebuh Carnarvon
Sementara Muzium Islam Pulau Pinang sedang diubahsuai, anda boleh menjejak sejarah Sun Yat Sen di pangkalan Pulau Pinangnya sebelum berjalan ke Pasar Lebuh Campbell.
Stesen 15: Kampung Kolam
Stesen ini dikelilingi oleh Masjid Lebuh Acheh, Masjid Kapitan Keling, Yap Kongsi, Khoo Kongsi, Cheah Kongsi dan Lim Kongsi, dan dikenali sebagai Jalan Harmoni. Jika anda ingin menikmati juadah makan malam yang ‘berat', Nasi Kandar Beratur di sebelah Masjid Kapitan Keling menghidangkan sajian yang menyelerakan.
Stesen 16: Mahkamah
Bas berhenti di hadapan Gereja St George dan berdekatan dengan tempat-tempat ibadah yang lain seperti Tokong Guan Yin dan Kuil Sri Maha Mariamman.
Stesen 17: Dewan Sri Pinang
Jika anda lebih suka berhenti di pintu masuk Dewan Sri Pinang, maka turunlah di sini. Anda juga boleh melawati tarikan lain yang terdahulu (berhampiran Stesen 6) seperti Bangunan Dewan Bandaraya, Bangunan Dewan Perbandaran, Bangunan Mahkamah, Tugu Peringatan Perang dan Tugu Peringatan Logan.
Stesen 18: Kota Cornwallis
Untuk melihat Kota Cornwallis, kubu yang bersejarah ini, anda patut berada di sini. Menara Jam Peringatan Ratu Victoria juga kelihatan sekilas pandang dari hentian ini.
Stesen 19: Lebuh Downing
Ini adalah hentian terakhir sebelum bas bergerak kembali ke Terminal Bas Pengkalan Weld. Anda boleh mengambil peluang terakhir ini untuk menatapi bangunan lama Standard Chartered, bangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dan bangunan HSBC yang menampilkan gaya seni bina kolonial.
Kekerapan perjalanan bas di Terminal Bas Pengkalan Weld dan hentian bas yang lain adalah dalam lingkungan 15-20 minit. Untuk jadual waktu ketibaan bas, sila hubungi Hotline Rapid Penang di talian 04-255 8000. Perlu diingatkan bahawa waktu ketibaan bas bergantung kepada keadaan trafik dan cuaca. Untuk maklumat lanjut, layari www.rapidpg.com.my
Perkhidmatan bas shuttle ini beroperasi dari pukul 6.00 pagi – 11.40 malam.