Follow our latest updates on the COVID-19 HERE
KISAH PENANG
KISAH PENANG
Khazanah tersembunyi Bukit Tambun

Terletak di Seberang Perai Selatan, Bukit Tambun adalah sebuah perkampungan nelayan yang menarik dengan sejarah manis yang bermula daripada permintaan tinggi di negara Britain yang mengamalkan tradisi minum teh pada kurun ke-19. Kegemaran terhadap teh inilah yang mendorong peneroka awal berbangsa Cina di Bukit Tambun mengusahakan penanaman tebu yang berhektar-hektar, seterusnya menggalakkan perkembangan pusat bandarnya, yang terdiri daripada sebatang jalan raya tunggal (kini dinamakan Jalan Bukit Tambun) dengan deretan rumah kedai, dan lanjutan daripada itu pembinaan rumah-rumah agam kepunyaan perintis tanaman tebu yang kaya seperti keluarga Khaw dan Heah. [1]

Memang susah untuk membayangkan ladang tebu di Bukit Tambun pada hari ini. Kini, ianya mempunyai restoran-restoran makanan laut berhadapan sungai yang wujud di sisi rumah pusaka yang masih kekal dan rumah-rumah kedai zaman pra-perang yang diberikan wajah baru dengan cat warna-warni dan dihiasi lukisan dinding yang ceria pada tahun 2015. [2]

“Setelah melihat gambar-gambar lukisan dinding dan rumah-rumah kedai berwarna pelangi di laman Facebook, pada saat itulah saya tahu bahawa saya harus melihatnya sendiri. Saya amat tertarik dengan rumah-rumah kedai beraneka warna dan lukisan dinding yang seolah-olah memancarkan kemesraan dan keramahan yang mengalu-alukan kedatangan pengunjung dari luar seperti saya untuk berjalan-jalan di sekeliling,” ujar Lau Sinn Wee yang berasal dari Gelugor, Pulau Pinang.

Lukisan dinding yang lebih besar ini bertujuan untuk memaparkan sejarah, budaya dan masyarakat bandar tersebut manakala warga tempatan telah mengambil inisiatif sendiri untuk menghiasi dinding rumah mereka dengan lukisan yang menampilkan selebriti terkenal dan watak komik. Projek naik taraf tersebut telah diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di kawasan tersebut Datuk Tan Kian Poo dan sahabat beliau, Peter Lim.

Kredit: @shuzhuang87 (Instagram)

Tapak Warisan

Projek mural tersebut bukan sahaja berjaya menarik banyak pengunjung tetapi juga telah memulakan diskusi yang lebih mendalam mengenai rumah-rumah agam warisan di bandar ini. Soalan-soalan seperti siapakah pemiliknya dan mengapakah rumah agam tersebut dibina di kawasan yang terpencil mula bermain di fikiran pengunjung. Rumah-rumah agam bergaya seni bina Eklektik Cina Selatan itu merupakan mercu tanda di kawasan tersebut sejak pembinaannya pada kurun ke-19 dan menjadi kisah sejarah dua warga Bukit Tambun yang paling berpengaruh, disegani, dan terkaya: Heah Swee Lee dan Khaw Boo Aun.

 Rumah Agam Pusaka Heah Swee Lee

Terletak bersebelahan dengan kedai kopi Liu Siang di Jalan Bukit Tambun, rumah agam pusaka Heah Swee Lee sangat menarik dipandang mata walaupun dalam keadaan usang. Rumah agam dua tingkat yang cantik ini wujud sejak kurun ke-19 dan telah dihuni oleh tiga generasi keluarga Heah sebelum ianya ditinggalkan. Walau bagaimanapun, rumah agam tersebut melalui suatu proses penambahbaikan yang kecil sebagai persediaan bagi peranannya sebagai lokasi penggambaran untuk drama bersiri tempatan, “The Promise”.

 Kredit: https://www.xtra.com.my

Di sini, para pengunjung boleh meluangkan masa untuk mengagumi lukisan-lukisan rumit yang menggambarkan kisah-kisah berdasarkan contoh-contoh ketaatan kepada ibu bapa (filial piety) oleh masyarakat Cina dahulu, jeriji besi jendela bercorak tulisan Cina yang bermaksud kebahagiaan berganda, dan pintu depan kayu nostalgik yang membentuk bahagian depan rumah agam pusaka Heah Swee Lee yang begitu mempesonakan ini.

Jeriji besi jendela melambangkan tulisan Cina yang bermaksud “kebahagiaan berganda”.

 Kebanyakan lukisan di sini dikatakan memaparkan kisah-kisah daripada cerita rakyat Cina berkenaan 24 Contoh Ketaatan kepada Ibu Bapa. Lukisan ini khasnya menggambarkan seorang anak lelaki yang mengeluarkan semua tulang dari ikan sebelum menghidangnya kepada ibu bapanya yang sudah berusia. 

Lukisan ini menggambarkan seorang anak lelaki di sisi pusara ibunya tatkala ribut petir, kerana ibunya amat takut akan guruh ketika beliau masih hidup.

 Lukisan berhampiran dengan siling ini dipercayai menggambarkan salah satu daripada pengembaraan watak legenda Raja Monyet ke Barat.

Pada kurun ke-19, keluarga Heah amat diagung-agungkan di bandar ini. Heah Jin Wooi, salah seorang pemimpin di Persatuan Teochew Pulau Pinang yang memulakan usaha penanaman tebu di Kuala Kurau, telah membina rumah agam keluarga yang menakjubkan di Bukit Tambun, dan di sinilah anak lelaki beliau, Heah Swee Lee, waris yang mengambil alih Ladang Jin Heng seluas 2,000 ekar, dilahirkan pada tahun 1875. [1]

 Rumah agam keluarga Kapitan Khaw Boo Aun

Tidak jauh dari rumah agam pusaka Heah Swee Lee pula tersergam rumah agam keluarga Kapitan Khaw Boo Aun, sebuah rumah tiga ruangan dengan laman dalaman dan dua bangunan tambahan pada kedua-dua belah. Rumah tersebut dibina pada tahun 1866 oleh perintis tanaman tebu Khaw Loh Hup, ayah kepada Kapitan Khaw Boo Aun, selepas persaraan beliau. Satu fakta yang menarik ialah kedua-dua anak beranak adalah pemimpin puak Teochew dalam persatuan Ghee Hin. Kapitan Khaw Boo Aun, terutamanya, terlibat secara aktif dalam Perang Larut Ketiga (1871 - 1873) dan menghulurkan bantuan kebendaan kepada Raja Abdullah dengan menghantar kapal-kapal yang sarat dengan pejuang dan bekalan bagi Raja Abdullah di Larut. [1]

Rumah bandar Cina yang cantik ini, yang juga merupakan dewan nenek moyang, adalah antara rumah bata yang terawal di Bukit Tambun. Malangnya, semua tinggalan sejarah telah dicuri dari rumah ini yang kini telah ditutupkan dengan papan dan menjadi kawasan larangan. Jika mereka mahu, pengunjung bolehlah mengintai dari celah-celah papan untuk memuaskan rasa ingin tahu mereka.

Makanan Warisan: Biskut Tambun

 Biskut Tambun. Kredit: lamcheck828 (Instagram)

Biskut Tambun adalah versi mini sejenis pastri tempatan yang dikenali sebagai tau sar pneah (biskut pes kacang), yang mula-mula diperkenalkan oleh pendatang dari wilayah Fujian di China pada zaman penjajahan Inggeris. Tau sar pneah kemudian diolah menjadi biskut Tambun dan menjadi pastri ikonik yang wajib dibeli di Pulau Pinang. Kedua-dua pastri ini dibuat daripada tepung gandum, gula, pes kacang hijau, bawang goreng, lemak khinzir, dan garam.

Seperti namanya, biskut Tambun dipercayai dicipta di Bukit Tambun, jadi pastikan anda membawa pulang pastri ini yang boleh didapati di mana-mana kedai dan restoran, apabila anda berkunjung ke sini!

Syurga Makanan Laut

Pemandangan di restoran makanan laut menghadap sungai di Bukit Tambun. Kredit: @kelvin.kyb (Instagram)

Oleh sebab Bukit Tambun berhampiran dengan Sungai Jawi, perikanan adalah salah satu sumber mata pencarian yang utama bagi masyarakat di sini sebelum kedatangan Inggeris lagi. Pada zaman dahulu sebelum Francis Light mendarat di Pulau Pinang (dan ternyata sekali sebelum trend minum teh di Britain), penduduk dari Pulau Aman akan berpindah ke Batu Kawan dan seterusnya ke Bukit Tambun untuk menangkap ikan. [3] Walau bagaimanapun, hanya apabila menjelang tahun 1990an barulah kawasan ini mula dikenali sebagai syurga makanan laut dengan kemunculan banyak restoran makanan laut berhadapan sungai di sepanjang Sungai Jawi yang menawarkan hasil tangkapan segar yang dimasak oleh tukang masak mahir dalam banyak jenis cara masakan yang berbeza. Anda boleh menikmati hidangan ikan, udang, dan ketam dimasak dengan mentega, atau dimasak kari dan rempah ratus yang lain.

Kredit: @fanny_ho3021 (Instagram)

“Yang paling baik, harga yang dikenakan betul-betul berpatutan,” kata Ong Bee Kim, seorang warga pulau yang sering menyeberangi jambatan ke Bukit Tambun kerana baginya, harga makanan laut di seberang lautan adalah lebih murah. “Apabila saya ke sini, saya tidak ragu-ragu memesan hidangan ketam nipah. Bukan sahaja ketamnya besar dan berisi, tetapi juga sepadan dengan harga,” tambahnya lagi.

Kredit: @Shell Out Selera Tambun Original (Facebook)

Bagi mereka yang inginkan pengalaman menjamu selera yang luar biasa, pilihlah untuk merasai cara makanan “shell out”. “Shell Out” adalah trend makan di mana makanan dihidangkan terus di atas meja tanpa sebarang pinggan dan kutleri, dan dimakan dengan tangan. Cara ini amat popular di kalangan pelanggan Melayu di seluruh Malaysia, dan Bukit Tambun turut terjebak dalam trend “shell out” ini, dengan adanya dua restoran “shell out” di sini.

Nama: Selera Tambun (Shell Out)
Alamat: 1786, Jalan Bukit Tambun
Waktu Operasi: 12 tengah hari - 12 tengah malam (setiap hari)

Nama: Shell Out Daun Pisang
Alamat: 884, Jalan Bukit Tambun
Waktu Operasi: 4:15 petang –12 tengah malam (tutup setiap hari Khamis)

Nama: Prawn Village Restaurant (Halal)
Alamat: 672, Jalan Bukit Tambun
Waktu Operasi: 11:30 pagi - 10:30 malam (setiap hari)

Nama: Jetty Seafood Restaurant 
Alamat: 860, Bagan Bukit Tambun
Waktu Operasi: 12 tengah hari - 10 malam (setiap hari)

Nama: Floating Seafood Paradise
Alamat: Lot 2400, Jalan Bukit Tambun
Waktu Operasi: 12 tengah hari - 10:30 malam (tutup setiap hari Selasa)

Pancingan Santai

 Kredit: @rozali kolam pancing (Facebook)

Bukit Tambun adalah tempat yang terbaik bagi mereka yang ingin mengakhiri lawatan menikmati makanan laut di bandar bersejarah ini dengan aktiviti memancing di Sungai Jawi yang berhampiran. Pekerja yang berpengetahuan di kedai pancing di pusat bandar akan melengkapkan anda dengan segala keperluan untuk memulakan aktiviti anda.

Namun demikian, bagi orang baru, anda boleh berjinak-jinak dahulu dan mempelajari selok-belok hobi ini mengikut rentak sendiri di kolam pancing. Antara tangkapan yang dapat dipancing adalah ikan air tawar seperti ikan tilapia, ikan keli, ikan haruan dan banyak lagi apabila memancing sama ada di Sungai Jawi ataupun di kolam pancing rekreasi.

Nama: Kolam Pancing Bukit Tambun
Alamat: Taman Tambun Emas, Bukit Tambun
Waktu Operasi: 9 pagi - 12 tengah hari (tutup setiap hari Isnin)

Tempat-tempat menarik yang berhampiran

Lawatan ke Bukit Tambun sering terasa seperti berada di zaman kini dan juga kembali ratusan tahun ke masa lampau dengan serentak, dengan campuran tradisi dan budaya seni jalanan moden yang amat menarik. Untuk bertukar rentak, kunjungilah Batu Kawan yang terletak berhampiran, di mana suasana beli-belah yang moden menanti anda!

Design Village.

Dinobatkan sebagai kompleks beli-belah yang paling mesra alam dan satu-satunya gedung beli-belah ‘outlet’ di wilayah utara, Gedung Beli-Belah Outlet Design Village menampilkan konsep beli-belah ‘outdoor’ yang menarik dengan pelbagai pilihan jenama pakaian sukan, fesyen ikonik dan aksesori yang luas di samping restoran. Selain membeli-belah, pusat beli-belah ‘outlet’ ini juga mempunyai sebuah taman tropika tersohor seluas 24 ekar yang dikendalikan dengan teliti, dan laluan pejalan kaki berbumbung yang lapang untuk keselesaan pengunjung.

Kredit: @daniell_danny93

Satu lagi tempat yang wajib dikunjungi tidak lain dan tidak bukan adalah IKEA Batu Kawan. Jenama perabot terkenal dari negara Sweden ini adalah cawangan Malaysia yang pertama di wilayah utara. Kunjungilah pusat ini untuk mencari perabot, ilham reka bentuk dalaman, atau untuk merasai bebola daging Sweden mereka yang terkenal. Oh ya, tempat ini juga penuh dengan sudut bergambar yang sesuai untuk Instagram.

Kredit: @dickieten (Instagram)

IKEA juga terletak beberapa minit sahaja dari salah satu lokasi instalasi seni di bawah Festival Antarabangsa Seni Lukis Kontena Pulau Pinang, jadi pengunjung boleh memenuhi segala keperluan Instagram mereka dengan satu lawatan yang menyenangkan. Dilukis oleh pelukis warga Kanada Emmanuel Jarus dan Caryn Koh, pelukis yang berpusat di Kuala Lumpur, mural pada instalasi seni tersebut merupakan cerita visual yang berkesan dalam mengetengahkan kepentingan Selat Pulau Pinang dan Jambatan Kedua Pulau Pinang dalam menghubungkan pulau dan tanah besar.

Nama: Design Village Outlet Mall
Alamat: 733, Jalan Cassia Barat 2, Bandar Cassia
Waktu Operasi: Isnin hingga Jumaat 11 pagi - 8 malam, Sabtu, Ahad dan Cuti Am 11 pagi - 10 malam 
Info: http://designvillage.today/

Nama: IKEA Batu Kawan
Alamat:  752, Persiaran Cassia Selatan 8, Bandar Cassia
Waktu Operasi: 10 pagi -10 malam (setiap hari)
Info: https://www.ikea.com/my/en/stores/batu-kawan/

Nama: PICAF’s Container Art Installation at Aspen Vision City, Batu Kawan
Info: https://www.facebook.com/PICAF2020/
Lokasi: https://goo.gl/maps/wAz25JJDND2phg7eA

[1] https://penangmonthly.com/article.aspx?pageid=9898&name=let_them_not_crumble

[2] https://bit.ly/35XSXjt

[3] https://bit.ly/3oLNxR6