Follow our latest updates on the COVID-19 HERE
KISAH PENANG
KISAH PENANG
Menerokai Teluk Kumbar: Intan Yang Belum Diasah

Kredit: Yihchang (Instagram) 

Di suatu sudut jauh daripada hiruk-pikuk bandaraya George Town dan hanya beberapa minit pemanduan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Teluk Kumbar menjadi tarikan pelancong yang ingin melihat rupa bentuk bandar zaman pra sebelum perang di negeri ini. Diasaskan oleh dua penjelajah Melayu, Nakhoda Sedin dan Panglima Long, pada lewat kurun ke-18,  masyarakat nelayan di Teluk Kumbar masih setia mengekalkan tradisi dan cara hidup mereka, walaupun arus pemodenan telah membangunkannya sebagai bandar baru pada akhir kurun ke-20 [1]. Pada hari ini, bandar Teluk Kumbar menampilkan personalitinya yang tersendiri, memperlihatkan unsur-unsur baru dan juga yang lama, di mana hotel mewah dan bangunan pangsapuri moden berdiri megah bersebelahan rumah kedai beratap zink dan bot nelayan yang menarik.

Permata makanan tersembunyi

Sepinggan Mee Udang yang menyelerakan. Kredit: @foodie_on_a_bitten_apple

Keistimewaan bandar ini terletak pada perkampungan nelayan yang memaparkan ciri-ciri warisan bukan sahaja dengan susunan sampan di sepanjang persisiran tetapi juga melalui hidangan yang disajikan oleh banyak restoran di tepi pantai. Restoran-restoran di Teluk Kumbar memikat selera penggemar makanan laut dengan hidangan khas seperti Mi Udang, Ikan Bakar dan masakan panas makanan laut, dan mengutamakan penggunaan hasil tangkapan segar dari perkampungan nelayannya.

Mi Udang adalah masakan Melayu mi dengan udang segar yang besar dalam kuah tomato yang sedikit kemasaman. Ikan Bakar pula adalah ikan segar yang dibakar atas daun pisang, yang dilumurkan dengan perapan cili yang berwarna kejinggaan ketika dibakar. Restoran makanan laut Cina pula menghidangkan juadah makanan laut dengan gaya “chu char” yang terdiri daripada nasi dan lauk-pauk makanan laut yang dimasak panas-panas.

Ketam bakar adalah hidangan wajib makan di restoran makanan laut Cina. Kredit Seng Kean Loh (Facebook)

Tanyalah siapa-siapa sesiapa pun makanan apa yang wajib dicuba di Pulau Pinang, tentunya mereka akan menjawab Char Koay Teow, Nasi Kandar dan Laksa Assam. Kebanyakannya kerana makanan ini terdapat di merata tempat di Pulau Pinang.

Mi Udang, Ikan Bakar dan masakan panas makanan laut jarang disebut-sebut kerana ianya hanya terdapat di perkampungan nelayan seperti Teluk Kumbar.

“Ada dua sebab mengapa warga setempat Pulau Pinang suka berkunjung ke Teluk Kumbar untuk masakan yang menjilat jari ini, iaitu perkampungan nelayannya dan restoran-restoran yang terletak di tepi pantai. Umum mengetahui bahawa hasil tangkapan yang paling segar dan pemandangan Selat Melaka yang jelas dapat dinikmati di sini. Paling baik ialah pergi awal supaya sempat menyaksikan matahari terbenam dan juga berjalan-jalan selepas mengisi perut,” ujar Jason Chee, penolong pengurus komunikasi pemasaran di sebuah hotel terkenal.

Nama: Pak Tam Mee Udang
Alamat: Pantai Teluk Bayu, Jalan Sungai Batu
Waktu Operasi: 11.30pagi-6.30petang (Tutup setiap hari Khamis)

Nama: Ayu Mee Udang
Alamat: 936 B, Lengkok Kampung Masjid 1
Waktu Operasi: 1 tengah hari-10 malam (Tutup setiap hari Isnin & Selasa)

Nama: Salwa Mee Udang
Alamat: 219, Jalan Gertak Sanggul
Waktu Operasi: 3 petang-11 malam (Isnin-Jumaat), 2 petang-12 tengah malam (Sabtu & Ahad)

Nama: Ilyana Cafe
Alamat: 10, Gerai JKKK, Jalan Gertak Sanggul, Teluk Kumbar
Waktu Operasi: 12 tengah hari-1 pagi (Isnin-Rabu), 3 petang-1 pagi (Jumaat), 12 tengah hari-1 pagi (Sabtu & Ahad) (Tutup setiap hari Khamis)

Nama: Hai Boey Seafood
Alamat: MK 9, 29, Jalan Pasir Belanda, Teluk Kumbar
Waktu Operasi: 5.30 petang-11 malam (Setiap Hari)

Nama: Hao You Seafood
Alamat: 8, Jalan Teluk Kumbar
Waktu Operasi: 5.30 petang-10:30 malam (Setiap Hari)

Pantai persis gambar poskad

Gambar aerial menunjukkan pemandangan Teluk Bayu yang menakjubkan. Kredit: @dharan11

Di Teluk Kumbarlah letaknya antara pantai yang tercantik di Pulau Pinang, iaitu Teluk Bayu dan Pantai Pasir Belanda. Suasana di sini tidak begitu sesak, dan cukup sempurna untuk beriadah. Terdapat banyak restoran makanan laut di kawasan ini, jadi agak kebiasaan untuk melihat ramai penduduk tempatan berjalan-jalan santai selepas menikmati sajian makanan laut yang lazat. Teluk Bayu memang terkenal terutamanya di kalangan jurugambar. Dengan tanjung tinggi berbatuan yang mengunjur ke lautan zamrud kehijauan, dan pepohon ru melambai-lambai menghijaukan suasana, Teluk Bayu memang sempurna bagi gambar Instagram anda.

Teluk Bayu: GPS: 5.27872, 100.24158
Pantai Pasir Belanda: GPS: 5.2854, 100.22286

Bangkai kapal: penemuan tidak diduga

Bangkai kapal Xin Yi Yi. Kredit: len_j_p (Instagram)

Terdapat berbelas-belas bangkai kapal di bawah alunan ombak yang mengelilingi Pulau Pinang, seperti kapal-kapal perang dari zaman Perang Dunia II iaitu Kuma, Haguro, dan Chosa Maru. Namun demikian, antara bangkai kapal yang paling menarik ini ialah bangkai kapal yang diketahui umum dan boleh dilihat secara dekat. Tidak jauh dari persisiran Teluk Kumbar, kelihatan bangkai kapal Xin Yi Yi di tengah lautan. Kapal Hong Kong sepanjang 43.6 meter itu telah melanggar bangkai kapal (yang diberi gelaran Kapal Simen) pada Julai 2018. Anak kapal berjaya diselamatkan tetapi kapal tersebut telah separuh tenggelam ke dasar laut semenjak nahas tersebut, walaupun terdapat beberapa cubaan untuk membalikkannya semula. Bangkai kapal tersebut kini menjadi ‘rumah’ kepada pelbagai hidupan akuatik dan boleh dilihat dari pantai di Permatang Damar Laut. Untuk melihatnya dengan lebih dekat, anda boleh menyertai rombongan perjalanan bot yang dianjurkan oleh Lexis Suites Penang. “Biasanya kita menjangka untuk melihat pemandangan pulau-pulau kecil yang kejauhan dan sampan-sampan, tetapi bukannya bangkai kapal. Oleh itu saya amat teruja apabila dapat melihatnya dengan begitu dekat sekali,” kata Timothy Tye, seorang penulis blog dari Pulau Pinang. 

Aktiviti lompat pulau (island-hopping) dengan bot yang ditawarkan oleh Lexis Suites Penang juga termasuk hidangan makanan laut untuk makan tengah hari dan persiaran bot mengelilingi Pulau Kendi dan Pulau Rimau.

Nama: Lexis Suites Penang’s Island-Hopping Boat Ride
Alamat: 28, Jalan Teluk Kumbar, 11920 Bayan Lepas
Nombor Telefon: +604 628 2888 
Laman Web: https://www.lexissuitespenang.com/activities/island-hopping-boat-ride

Pulau Kendi

Nama Pulau Kendi berasal dari perkataan “kendi” yang bermaksud kelalang dalam Bahasa Malaysia disebabkan rupa pulau tersebut yang menyerupai kelalang yang terbaring di sisinya.

Kredit: @gimbalthecameraman (Instagram)

Bagi mereka yang benar-benar ingin mengasingkan diri, Pulau Kendi adalah puncak keterasingan – pulau kecil ini tidak berpenghuni dan tidak pernah disentuh pembangunan sejak berkurun lamanya. Permata yang berbatu-batan dengan hutan belantara yang tebal ini terletak hanya 3.4km dari titik penghujung barat daya Pulau Pinang dan boleh diakses melalui bot. Tempat yang sudah lama menjadi lubuk pemancing rekreasi, Pulau Kendi kini semakin popular di kalangan pengunjung yang berjiwa lasak. Penggemar aktiviti luar seringkali kelihatan asyik dengan aktiviti sukan papan luncur air (paddleboard) di perairan pantainya yang putih halus dan snorkelling di celah terumbu karang.

Beberapa pengunjung sedang menunggang papan luncur air. Kredit: lclovegood (Instagram)

Jurulatih selam Goh Teong Chye melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Kendi baru-baru ini. Kredit: Goh Teong Chye

Kami telah bersnorkel di sebuah teluk dan dapat melihat karang hidup, ikan laut, ketam dan landak laut. Ianya amat menakjubkan,” kata Goh Teong Chye, seorang jurulatih selam bertauliah yang berkunjung ke pulau ini bersama-sama pasukannya baru-baru ini.

“Syurga ini jelas sekali tidak mempunyai sebarang kemudahan dan perkhidmatan, jadi pengunjung dinasihatkan untuk membawa telefon yang dicas penuh, bekalan makanan dan air yang mencukupi dan mengutip segala sampah-sarap sebelum beredar untuk memastikan kawasan pulau sentiasa bersih,” tambahnya.

Peringatan perjalanan: Pulau Kendi adalah kawasan yang terpencil jadi pengunjung dinasihatkan supaya lebih berwaspada.

Tapak warisan

Pemandangan Jalan Teluk Kumbar dari udara. Kredit: Yihchang (Instagram)

Perjalanan melalui Pekan Teluk Kumbar akan membawa anda kembali ke zaman pra-perang di Pulau Pinang. Para pengunjung boleh menyertai lawatan berjalan kaki di sepanjang Jalan Teluk Kumbar dan Jalan Gertak Sanggul untuk menerokai pekan lama dan tapak-tapak warisannya. Tempat permulaan yang baik ialah di depot Bas Kuning Pulau Pinang usang yang terletak di sebelah Hotel Lexis Suites.

Depot Bas Kuning Pulau Pinang. Kredit: len_j_p (Instagram)

Pada tahun 60an, bas awam merupakan tulang belakang sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang, dan Bas Kuning Pulau Pinang adalah antara syarikat persendirian yang menyediakan perkhidmatan bas meliputi kawasan barat daya. Bangunan ini menampilkan ciri-ciri gaya Art Deco, menandakan bahawa ia telah dibina antara 1930an hingga 1960an. Dengan tamatnya operasi bas pada tahun 2004 selepas lebih setengah abad, bangunan ini kini dijadikan sebagai ruang penyimpanan barang.

Barisan rumah kedai yang berabad usianya di Jalan Teluk Kumbar. Kredit: @normabahri (Instagram)

Membarisi kedua-dua belah Jalan Teluk Kumbar, rumah kedai beratap zink yang berabad usianya ini masih mengekalkan wajah dan suasananya yang asal sejak bandar ini diasaskan pada zaman 1880an. Bengkel motor, kedai runcit, dan kedai makan kini menghuni deretan rumah kedai ini, yang dipercayai diwarisi secara turun temurun. Salah satu kedai makan, Kedai Kopi Bee Ghah, menempatkan sebuah gerai nasi kandar yang berusia 60 tahun.

“Kedai kopi ini sangat terkenal dengan nasi lemak dan kopi pada waktu pagi dan nasi kandar pada sebelah petang. Ia diusahakan oleh seorang pemilik berbangsa Cina dengan penyewa-penyewa kaum Melayu. Pada saya, ini sesuatu yang istimewa kerana ia menggambarkan suasana Teluk Kumbar yang harmoni,” kata Jason Chee.

Rumah kedai warisan tidak bernama ini dikatakan merupakan sebuah kedai pajak candu dahulu. Kredit: @alifzamre (Instagram)

Dengan terus menyusuri jalan tersebut dan membelok ke Jalan Gertak Sanggul, pengunjung akan berhadapan dengan sebuah bangunan tradisional yang dipercayai satu-satunya yang seumpamanya di pekan lama. Ia direka mengikut gaya awal Selat Eklektik yang lazimnya digunakan dalam pembinaan antara 1890an hingga 1910an, memberikan bayangan kepada waktu ianya mula dibina. Menurut penduduk tempatan, bangunan tersebut dahulunya sebuah kedai opium. Kini, ia merupakan kedai runcit untuk kemudahan penduduk tempatan.

Destinasi persinggahan terbaik

Kedudukan Teluk Kumbar yang dekat dengan lapangan terbang menjadikannya destinasi yang sesuai untuk meluangkan tambahan sehari dua  sebelum pulang. Terletak di antara Bayan Lepas pada sebelah timur dan Gertak Sanggul di bahagian barat, terdapat tempat riadah lain yang berhampiran di beberapa kawasan ini bagi pengunjung yang ingin memanfaatkan percutian mereka dengan sebaiknya.

Muzium Perang Pulau Pinang. Kredit: Emily Ismail

Hanya beberapa minit pemanduan dari Pekan Teluk Kumbar, Muzium Perang Pulau Pinang dikenali sebagai muzium perang yang terbesar di Asia Tenggara. Dengan kedudukan strategiknya di puncak Bukit Batu Maung, bekas kubu ini pada asalnya merupakan benteng pertahanan yang dibina oleh tentera Inggeris pada tahun 1930an, tetapi malangnya telah jatuh ke tangan askar penceroboh Jepun ketika Perang Dunia Kedua pada tahun 1942. Kubu tentera seluas 19.36 ekar ini memiliki pemandangan menyeluruh 360-darjah lautan sekeliling pulau yang menakjubkan, bagi mempertahankan Selat Melaka daripada serangan tentera Jepun yang mara dari terusan Selatan. Pengunjung dapat melihat terowong, pameran perang dan artifak lain yang sehubungan dengannya seperti ruang melepaskan tembakan meriam, tapak meriam penangkis serangan udara, tempat tidur, ruang memasak dan lokap di bekas kubu yang menyimpan sejarah hitam ini.

Tokong Ular Pulau Pinang. Kredit: therealnicvoyage (Instagram)

Satu lagi tarikan yang berbaloi untuk dikunjungi ialah Tokong Ular Pulau Pinang. Juga dikenali dengan nama lainnya iaitu Tokong Awan Biru, Tokong Ular ini dibina pada tahun 1850, sebagai tanda penghormatan kepada Chor Soo Kong, seorang sami dan bomoh Buddha yang terkenal kerana menyediakan tempat perlindungan bagi ular. Menurut legenda, selesai sahaja pembinaan tokong ini, banyak ular mula muncul dengan sendirinya di perkarangan tokong ini dan sejak dari itulah ia dikenali sebagai Tokong Ular. Bermula dengan sebuah rumah berhala yang kecil, ia telah berkembang menjadi sebuah tempat ibadah yang mempesonakan melalui kerja-kerja pengubahsuaian yang besar selama beberapa tahun ini. Tokong ini ditampilkan dalam siri Amazing Race and juga novel “The Gift of Rain” karya penulis kelahiran Pulau Pinang yang disanjung di persada antarabangsa, Tan Twan Eng. Mendiang Anthony Bourdain juga pernah melawat tokong ini semasa penggambaran rancangan makanannya, “No Reservations” di Pulau Pinang.

Nama: Penang War Museum
Alamat: Jalan Batu Maung, Batu Maung
Waktu Operasi: 9 pagi-6 petang (Setiap Hari)

Nama: Penang Snake Temple
Alamat: Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas Industrial Park 
Waktu Operasi: 6 pagi-7 petang (Setiap Hari)


Petikan:
[1] A Quality Of Urban Design Elements in Fishing Village at Teluk Kumbar, Penang